Saturday, February 19, 2011

Pertukaran Siang dan Malam

anda-tanda pada pertukaran siang dan malam


Allah snt mengajar kita untuk mengenali-NYA dengan mencari tanda-tanda bukti adanya tuhan, di langit dan bumi, serta pertukaran siang dan malam. Jelas sekali tuhan dah bagi 'hint' bagaimana untuk mencari bukti adanya DIA.

Baiklah dalam artikel kali ini, saya ingin membincangkan tentang tanda-tanda adanya tuhan mengikut 'hint' yang telah diberi. Saya mulakan mengikut hint kedua iaitu pada pertukaran siang dan malam, ini kerana, seperti yang telah dijelaskan pada artikel yang lalu, langit dan bumi pada saya terlalu umum kerana keluasannya tidak terjangka.

Baiklah, apa kaitan pertukaran siang dan malam dengan tanda-tanda adanya tuhan? Apakah yang membuatkan 'hint' ini diberi untuk mencari tanda-tanda adanya tuhan? Untuk memberikan pemahaman, saya hanya akan menggunakan pengetahuan basic science sekolah rendah supaya semua boleh paham. Rasanya kalau pandai membaca, tentulah anda pernah bersekolah rendah bukan? Tiada sebab anda tak paham artikel ini.
Bagaimanakah pertukaran siang dan malam terjadi?

Semua orang yang pernah belajar pendidikan sains sekolah rendah sudah sedia maklum bahawa perubahan siang dan malam berlaku kerana putaran bumi pada paksinya yang mengambil masa selama 24 jam. Kejadian siang berlaku kerana sebahagian bumi ini menerima cahaya dari matahari (siang) manakala sebahagian lagi terlindung dari sinaran matahari menjadikan ia gelap dan kita panggil ia sebagai malam. Penduduk bumi di bahagian yang menerima cahaya matahari merasai suasana siang manakala yang lain merasai kegelapan malam.



Pertukaran siang dan malam bergantung pada paksi dan kedudukan dari sinaran matahari

Sebagai pengetahuan pembaca di dalam sistem suria, setakat ini mengikut penemuan saintis, terdapat kira-kira sembilan planet yang berkongsi matahari dengan bumi kita. Terdapat lapan lagi planet lain yang menerima cahaya matahari. Planet-planet ini juga berpusing atau berputar pada paksi-paksi mereka sendiri seperti bumi. (Saya merujuk kepada pengetahuan umum, sekiranya ada penemuan planet baru kenyataan ini bolehlah diubahsuai).

Kejadian siang dan malam sesebuah planet bergantung pada kedudukan paksinya dan kedudukannya menerima sinaran matahari.

Sekiranya paksi tersebut tidak sesuai dengan kedudukannya dengan cahaya matahari, maka pertukaran siang dan malam tidak dapat berlaku. Sebagai contoh, planet Uranus yang terdapat di dalam sistem suria, planet ini mempunyai paksi melintang 98 darjah. Maka putaran planet ini seperti sebatang kayu yang bergolek.

Ada planet di luar sistem suria kita yang mempunyai paksi seperti Uranus namun kedudukan cahaya matahari menyinari hanya kutub utaranya iaitu bagaikan sebatang kayu bergolek yang menerima cahaya hanya di salah satu hujungnya. Maka kejadian siang dan malam tidak dapat berlaku di planet tersebut. Hanya sebahagian kawasan planet tersebut yang mempunyai waktu siang sepanjang masa, manakala sebahagian lagi malam sahaja sepanjang masa.

Alangkah sengsaranya kalau kita hidup di planet tersebut. Sebahagian planet panas gila sampai boleh terbakar, manakala sebahagian kawasannya yang lain sejuk gila melebihi tahap beku, sampai udara pun boleh berhenti bergerak kerana beku.

Apa yang perlu dilihat, tidak semua planet mengalami kejadian siang dan malam. Kejadian siang dan malam ini sebenarnya bergantung kepada kedudukan paksi planet tersebut. Baru sahaja kita membincangkan tentang planet di sistem suria, yang hanya memiliki sembilan planet, kita sudah bertemu dengan planet-planet yang berbeza keadaan siang dan malamnya. Belum lagi kita menjelajah ke seluruh galaksi malah ke seluruh alam cakerawala yang terbentang luas. Pelbagai lagi jenis paksi akan dapat kita temui.

Kelajuan putaran bumi mengekalkan suhu yang sesuai untuk hidupan

Darjah kecondongan paksi putaran bagi sesuatu planet sebenarnya membawa makna besar untuk memberikan suhu dan suasana yang sesuai untuk dihuni oleh hidupan seperti manusia, haiwan dan tumbuhan. Malah kadar kelajuan putaran bumi juga menentukan sama ada bumi boleh didiami oleh hidupan atau tidak. Lihat sahajalah di bumi ini, bolehkah anda tinggal di kutub utara? Kawasan tersebut terlalu sejuk, hanya boleh didiami oleh makhluk tertentu. Ini kerana kutub Utara kurang menerima cahaya matahari. Syukurlah, kawasan lain masih banyak yang bersuhu sesuai untuk kita diami beramai-ramai.

Kadar perubahan siang dan malam juga memainkan peranan penting untuk membenarkan manusia dan hidupan lain hidup selesa di bumi ini. Ukur lilit bumi adalah kira-kira 40074.1 km maka untuk melakukan putaran yang konsisten bumi bagi menghasilkan siang 12 jam dan malam 12 jam ia harus berputar selaju 40074.1 km / 24 Jam = 1669.75 KM/J, sangat laju bukan? Lebih laju daripada kapal terbang!

Sekiranya kelajuan bumi menjadi perlahan, jangka masa siang malam di bumi akan berubah, kadar penerimaan suhu di bumi juga berubah, maka julat suhu di bumi akan turut berubah. waktu siang, bumi akan menjadi lebih panas kerana menerima terlalu lama cahaya matahari. manakala waktu malam akan menjadi lebih panjang dan suhu bumi akan menjadi terlalu sejuk. Lama kelamaan hidupan akan beransur-ansur mati.

Ini kerana setiap hidupan mempunyai julat suhu tertentu yang terbaik bagi membolehkan ia terus hidup. Contohnya untuk seekor ayam daging membesar secara normal dan terbaik, ia harus hidup di persekitara berjulat suhu antara 25 - 31 darjah celcius. begitu juga haiwan-haiwan lain termasuk manusia dan tumnbuhan.

Lihat sahajalah, bumi yang berputar pada kelajuan yang paling ideal ini juga boleh menyebabkan wujudnya sebahagian kawasan yang terlalu panas untuk hidupan, kerana menerima cahaya matahari yang terlalu banyak pada siang hari, contohnya di gurun-gurun di Timur Tengah dan sebagainya. Apatah lagi kalau bumi bergerak dengan lebih perlahan?

Begitu juga apabila bumi bergerak dengan lebih laju, kadar penerimaan cahaya matahari pula akan berubah. Bumi mengalami kurang penerimaan haba, maka suhu bumi akan menjadi lebih sejuk dan tidak sesuai untuk hidupan.

Secara ringkasnya sebelum saya menamatkan artikel pada kali ini, saya ingin menegaskan di sini bahawa pertukaran siang dan malam menggambarkan satu sistem yang sangat teratur yang tidak boleh silap walau sedikit. Sekiranya paksi bumi mengalami kecondongan yang berbeza, bumi berputar lebih laju atau perlahan, kedudukan matahari dan bumi yang tidak sesuai, hidupan tidak dapat hidup kerana suhu menjadi tidak sesuai. Fenomena keadaan planet-planet selain bumi di luar angkasa sana menunjukkan kepada kita apa akan jadi sekiranya bumi tidak seperti keadaannya yang paling ideal seperti sekarang ini.

Malah sehingga kini, saintis bersusah payah mengesan kewujudan makhluk hidup di dalam berjuta-juta planet lain di angkasa. Hasil kajian mereka masih belum menemui planet yang mempunyai sistem serupa dengan bumi dari segi 4 faktor yang dibincangkan di atas iaitu kecondongan paksi, kedudukan terhadap matahari, dan kelajuan putaran yang sesuai untuk membolehkan makhluk seperti manusia haiwan dan tumbuhan hidup di sana. Dari berjuta-juta planet di angkasa tiada satu pun setakat ini menyamai faktor bumi yang disebut tadi. Hanya bumi yang dilihat memiliki keadaan paling ideal untuk hidupan di angkasa setakat ini.

Yang mana wujud dahulu bumi atau penghuninya? Tantu sekali bumi wujud dahulu, kemudian apabila keadaannya sesuai barulah hidupan dapat hidup di bumi. Maka tentu sekali tiada sesiapa pun di bumi yang menentukan keadaan ideal untuk hidupan di bumi ini. Adakah keadaan ideal ini satu kebetulan? Kalau kebetulan, mengapa berjuta-juta planet di angkasa tidak mengalami kebetulan yang sama seperti bumi? Sekiranya benar ia satu kebetulan, ia adalah satu kebetulan yang sangat ajaib!

kredit Zonfikir dan Tok Wan

Labels:

Bagaimana Langit Melindung Bumi?

Bagaimana langit melindungi bumi?


Baiklah di kesempatan waktu yang sedikit ini, saya ingin mengajak pembaca sekali lagi untuk meneroka angkasa lepas. Anda tentu sedia maklum bahawa terdapat 9 buah planet di dalam sistem suria kita bukan?

Salah satu planet yang paling besar di dalam sistem suria kita adalah planet Musytari, atau di dalam bahasa Mat salehnya, Jupiter. Planet ini bukan sahaja jauh lebih besar daripada bumi, malah ia 320 kali ganda lebih berat daripada bumi. Selain itu ia memiliki daya graviti yang sangat kuat untuk menarik pelbagai objek di angkasa ke arahnya.

Apa yang lebih menarik, rupa-rupanya planet Musytari tidak wujud sia-sia di situ, ia wujud untuk melindungi bumi daripada serangan tahi-tahi bintang yang besar, di mana sekiranya tahi-tahi bintang yang besar ini jatuh ke bumi akan mengakibatkan kerosakan yang amat dahsyat kepada bumi.

Dengan adanya gelombang magnetik yang dihasilkan oleh planet musytari ini, ia membantu menarik atau memesongkan arah tahi bintang yang besar daripada jatuh ke bumi. Mari kita ucapkan kesyukuran atas kewujudan planet Musytari yang melindungi bumi ini.

Berikut petikan yang diambil dari website NASA.

Jupiter has more mass than all other planets in the solar system combined. It helps protect Earth by steering comets either towards the sun or ejecting them to the outer reaches of the solar system or beyond. Jupiter has dozens of moons orbiting it, one of which, Europa, is thought to have a sub-surface liquid salt water ocean. It therefore may possibly harbor life as heat and water, the two ingredients required for life on Earth as we know it, are seemingly present below the moon’s surface.

Sumber NASA

Namun begitu, masih ada lagi objek-objek kecil lain di angkasa yang mampu menyerang bumi, dan memberikan akibat yang tidak kurang dahsyatnya sekiranya terhempas ke bumi. Ini kerana objek-objek ini kurang menerima kesan daripada medan magnetik yang dihasilkan oleh Musytari lantaran saiznya yang kecil.

Syukur Alhamdulillah kerana bumi masih memiliki satu lagi sistem pertahanan. Selain mendapat perlindungan daripada Musytari, ia juga memiliki 7 lapisan atmosfera yang melindunginya daripada objek-objek kecil ini seperti meteor dan komet.

7 Lapisan-lapisan atmosfera ini memberikan geseran yang cukup kuat kepada komet dan meteor yang jatuh ke bumi dan menghancurkannya atau sekurang-kurangnya mengecilkan saiznya sebelum ia jatuh ke permukaan bumi.

Hal ini menjelaskan mengapa komet dan meteor (tahi bintang) akan kelihatan berapi semasa jatuh ke bumi, ia menerima geseran daripada atmosfera dan menjadikannya sangat panas.

Selain itu 7 lapisan atmosfera ini juga memberikan perlindungan daripada sinaran Ultralembayung dari matahari yang boleh mengakibatkan kanser sekiranya terkena kulit manusia (anda boleh cari sendiri maklumat ini di internet).

Inilah gambaran yang dijelaskan di dalam Al-Quran,

"Dan Kami jadikan langit itu sebagai atap terpelihara sedang mereka berpaling dari segala tanda-tanda yang terdapat padanya"
[Surah Al-Anbiya: 32]

Rupa-rupanya langit yang terbentang luas dan kita lihat sebagai kosong ini merupakan atap ataupun bumbung yang melindungi bumi. Malah Allah juga telah memberikan 'hint' tentang 7 lapisan langit ini di dalam Al-Quran melalui ayat,

“Dialah Allah yang menjadikan segala yang ada di bumi untuk kamu dan Dia berkehendak terhadap langit, lalu di jadikanNya 7 lapisan langit. Dan Dia maha Mengetahui segala sesuatu”

[Surah Al-Baqarah: 29]

Pembaca yang saya muliakan sekalian, lihatlah tanda-tanda kasih Allah kepada hambanya tanpa kita sedari. Musytari dan Atmosfera tidak datang sendiri, melainkan sengaja diletakkan agar melindungi bumi. Mengapa? Kerana hamba-hambaNya ada di situ.

kredit untuk Zonfikir dan Tok Wan

Labels:

Bagaimanakah manusia menjadi penyebab gempa bumi?


Sejak kebelakangan ini sering kali kita dengar berita di kaca televisyen, di dada-dada akhbar dan di corong-corong radio tentang kejadian gempa bumi yang berlaku di serata dunia. Ada gempa bumi yang besar yang mampu mengakibatkan kerosakan dan korban yang teruk, ada juga gempa kecil yang tidak menggugat harta benda dan nyawa manusia.

Sering kali kita mendakwa bahawa gempa bumi ini adalah merupakan satu fenomena alam yang tidak dapat dielakkan, ia merupakan satu proses keseimbangan yang terjadi pada alam semulajadi. Benarkah manusia tiada kaitan dengan fenomena alam seperti gempa bumi ini? Atau sebenarnya manusialah penyebab gempa bumi berlaku?

Di dalam menjawab persoalan ini, saya sekadar menggunakan pengetahuan fizik yang ringkas lagi mudah difahami dengan mengabaikan pelbagai pemboleh ubah yang menjadi faktor, diharap para pembaca dari kalangan cendiakawan fizik di luar sana menyedari hal ini sekiranya ingin mengeluarkan hujah atau menyangkal artikel ini.

Bagaimana alam melakukan proses keseimbangannya?

Tentu sekali ramai para pembaca yang memiliki mesen basuh di rumah bukan? Untuk mesen basuh model lama, atau yang konvensional, biasanya dilengkapi dengan sistem pengering untuk mengeringkan pakaian. Sistem pengeringan ini menggunakan kaedah putaran untuk menyingkirkan air yang berat keluar dari pakaian yang dikeringkan.

Perhatikan semasa anda mula menekan suis untuk memulakan proses pengeringan pakaian. Alat pengering ini akan berbunyi bising pada mulanya menandakan ia mula berpusing. Namun lama kelamaan bunyi bising ini akan beransur-ansur hilang dan akhirnya tidak kedengaran kuat lagi seperti sebelumnya.

Apakah yang berlaku? Pada mulanya pusingan alat pengering anda adalah tidak stabil berikutan terdapat pakaian di dalam alat pengering itu yang tidak berada pada kedudukan yang baik bagi memberikan keseimbangan terhadap pusingan mesen anda. Ini membuatkan alat pengering ini bergoncang, kadang kalanya menghentam dinding ruangan dalam mesen basuh anda dan menghasilkan bunyi bising.

Hilangnya bunyi bising menandakan keseimbangan telah tercapai, maka boleh dikatakan pakaian anda berada di dalam keadaan yang seimbang bagi membolehkan putaran alat pengering menjadi lebih stabil. Sungguh pun masih terdapat getaran kecil, namun ia sudah dikira stabil untuk melakukan putaran. Ini adalah sifat semula jadi yang berlaku terhadap objek yang berputar di dalam memperolehi kestabilannya.

Inilah gambarannya kepada bumi yang kita diami ini, ia tidak pernah berhenti berputar setiap saat, 24 jam sehari, 7 hari seminggu sejak ia mula wujud kira-kira 4.54 bilion tahun dahulu dengan kelajuan kira-kira 1000 batu per jam.

Bagaikan sebiji bola yang berputar laju setiap saat dalam keadaan tergantung di angkasa, ibarat sebiji gasing yang sedang berputar, apa akan jadi sekiranya tiba-tiba segumpal tanah melekat pada sebahagian permukaan gasing itu?

Tentu putarannya akan terganggu bukan? Getaran pada putaran ini adalah untuk kembali menyeimbangi kestabilan putarannya. Inilah gambaran proses keseimbangan yang berlaku pada bumi yang kita diami ini.

Lihatlah betapa lajunya putaran bumi dan betapa mudahnya ia bergoncang sekiranya putarannya terganggu? Namun begitu, terima kasih di atas kewujudan gunung ganang yang berfungsi sebagai pengimbang kepada putaran bumi, agar ia terus stabil melakukan putarannya.

Dan telah Kami jadikan di bumi ini gunung-gunung yang kukuh supaya bumi itu (tidak ) bergoncang bersama mereka, dan telah Kami jadikan di bumi itu jalan-jalan yang luas agar mereka mendapat petunjuk. [Surah al-Anbiya: 31]

Namun begitu, lihatlah tangan-tangan manusia, bagaimana mereka mengubah rupa bentuk bumi ini? Kononnya demi pembangunan, mereka mendirikan bangunan pencakar langit yang tinggi-tinggi, meratakan bukit-bukit, memindahkan tanah-tanah dan sebagainya. Secara kolektif tidakkah perbuatan ini mengganggu kestabilan putaran bumi?

Maka demi mencapai keseimbangannya, proses keseimbangan berlaku di permukaan bumi untuk menyeimbangi perubahan yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia dalam bentuk gegaran demi gegaran dan gempa bumi untuk meratakan kembali atau menstabilkan kembali keadaan muka bumi ini seperti sediakala.

Wajarlah dikatakan bahawa salah satu tanda-tanda kecil kiamat adalah wujudnya banyak bangunan-bangunan pencakar langit yang sebenarnya menyumbang kepada berlakunya kiamat itu sendiri. Jelas di sini, tangan-tangan manusia sendiri yang melakukan kerosakan di atas muka bumi ini. Malah wajar juga difikirkan bahawa tangan-tangan manusia itu sendiri yang akan menghancurkan dunia ini sekaligus penyebab datangnya hari kiamat.

“Telah nampak kerosakan di darat dan dilaut akibat perbuatan tangan manusia,supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari akibat perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)” [Surah ar-Rum: 41].

Labels:

Mengenali Allah


Anda bayangkan persoalan yang saya timbulkan adalah persoalan yang wujud di dalam hati saya semasa zaman kanak-kanak. Saya pasti bukan saya seorang yang mengalaminya, ramai lagi kanak-kanak lain yang menghadapi perasaan bingung dengan pelajaran yang diterima berkenaan ilmu tauhid itu apabila mereka mempunyai sedikit kecerdasan untuk berfikir.

Adakah kita sebagai orang dewasa tergamak membiarkan mereka yang berfikiran kritikal ini tanpa memberikan jawapan yang mereka kehendaki? Salahkah mereka mengkehendakkan jawapan? Adakah kanak-kanak seperti ini harus disekat daya pemikirannya dengan alasan "mengenal tuhan tidak boleh dengan akal nanti terpesong", "akal manusia tak sampai nak fikir kewujudan tuhan", "jangan fikir banyak nanti sesat ikut sahaja" ajaran siapakah ini? Adakah kita sememangnya disuruh mengikut sahaja sedangkan kita memiliki akal?

Adakah sebarang ayat di dalam Al-Quran yang melarang kita berfikir tentang kewujudan Allah? Bahkan Allah menyuruh kita berfikir tentang kewujudan-NYA. Lihat ayat ini,

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal [Ali-Imran: 190]


Siapakah orang-orang yang berakal di dalam ayat di atas? Bukankah mereka adalah orang yang berfikir menggunakan otaknya? Lihatlah pembaca yang saya muliakan sekalian, di dalam ayat ini Allah mengajar kita bagaimana untuk mengenal-NYA, bagaimana untuk kita menyedari kewujudan-NYA dan bagaimana caranya untuk kita membuktikan adanya Allah.

Bagaimana caranya? Allah menyuruh kita mencari tanda-tanda-NYA. Di mana tanda-tanda itu? Kata Allah ada pada kejadian langit dan bumi serta pertukaran siang dan malam.

Tanda-tanda di langit dan bumi

Siapa boleh tentukan sempadan langit? Berapa luas agaknya langit ini ya? Sehingga ke hari ini, tiada lagi sebarang ilmu lagi yang boleh menentukan keluasan langit dengan tepat kerana langit itu terlalu luas, tiada lagi alat pengukur yang boleh mengukur keluasan langit. Secara asasnya langit itu merujuk kepada luasnya alam ini. Dengan kata lainnya Allah menyuruh kita mencari tanda-tanda (bukti kewujudan-NYA) di seluruh alam ini! (ini merupakan salah satu tafsiran kerana tafsiran Al-Quran itu sangat luas). Carilah tanda-tanda pada semua benda yang ada di langit, baik bintang, matahari, bulan, awan, meteor, planet-planet, Makhluk asing (kalau sudah terbukti ada) dan semua-semualah yang ada di langit tu.

Ini baru galaksi ni langit ni lagi luas terlalu luas, matahari yang besar berpuluh kali ganda bumi pun tak nampak dalam gambar ni (letaklah gambar sikit kalau tak boring pulak macam baca novel haha)

Kedua, Allah menyuruh kita mencari tanda-tanda (bukti kewujudan Allah) di bumi. berapa luas pula bumi ini? Alhamdulillah sudah ada ilmu yang boleh mengukur keluasan bumi iaitu ilmu matematik. Diameter bumi adalah kira-kira 7926.28 batu, maka dengan menganggap bumi sebagai berbentuk bulatan tepat, maka keluasan bumi boleh dihitung dengan rumus pi J kuasa dua (kiralah sendiri). Maka secara asasnya Allah menyuruh kita mencari tanda-tanda (Bukti kewujudan Allah) di seluruh keluasan bumi yang kita duduki ini. Maka carilah pada semua benda yang ada di muka bumi ini, baik kucing, ayam, lelaki, perempuan, ikan, jin, kapal terbang, bom dan semualah yang ada di bumi ini.

Kemudian tuhan menyuruh juga kita mencari bukti kewujudan-NYA (tanda-tanda) di dalam kejadian siang dan malam. Hal ini meliputi ilmu putaran bumi, peredaran matahari, bulan, arah putaran bumi, bentuk bumi, kedudukan paksi dan sebagainya.

Baiklah saya tangguhkan perbincangan ini setakat ini sahaja korang pun macam dah malas nak baca dah tu, saya akan ulas lebih lanjut bagaimana mengkaji adanya Allah di langit dan bumi, serta pada pertukaran siang dan malam pada artikel akan datang semua sekalilah.

Apa pun jelas di sini Allah menyuruh kita berfikir dan mencari bukti bahawa DIA ada. Malah Allah ajar juga bagaimana cara nak cari yang betul supaya kita tak terpesong, Allah dah bagi 'hint' di dalam Al-Quran. Inilah yang dinamakan berfikir pada lorong yang betul salah masuk lorong touch n go kang haru-biru sebab tak bawak kad.

Labels: