Monday, November 27, 2006

BAB BIDAAH

Ramai orang keliru apakah yang dikatakan ‘bid’ah’. Buku yang dihasilkan oleh ulama ulung ini menyajikan perbahasan yang mudah untuk difahami, praktikal dan realistic dengan mengambilkira perkembangan semasa. Setiap dari kita patut memiliki buku ini kerana manafaatnya amat banyak.



http://www.darulkautsar.com/fatwaqardawi/bidaahqardawi.htm

Bid’ah dan Syirik

Penulis: Dr Yusuf Qardhawy dan Muhammad Al-Ghazali.

Di bawah ialah di antara petikan menarik (dengan sedikit pengubahsuaian) dari bahagian pertama (bid'ah) buku yang amat berharga ini:

1. BID’AH DALAM AGAMA

Bid’ah Haqiqi

Bidaah Idafi

Masalah A’diyah

2. BID’AH DALAM AKIDAH
Perasaan Nasionalisma

3. BIDAAH DALAM IBADAH

Menghias Masjid
Membangun masjid di atas kubur
Masalah Khutbah

BIDAAH DALAM ADAT KEBIASAAN

Bid’ah dalam urusan jenazah

Bid’ah dalam pesta perkahwinan

Perkahwinan dan ikatan keluarga

Peringatan hari ulang tahun, hari Asyura dan hari cuti mingguan


1. BID’AH DALAM AGAMA

Barangsiapa beranggapan bahawa agama Islam ini masih kurang sempurna dan memerlukan tambahan-tambahan demi kemaslahatan diri dan golongan jelas menunjukkan kejahilan mereka sendiri.

Mereka yang menambah-nambah dalam urusan agama ini adalah tukang-tukang bid’ah. Tukang-tukang bid’ah ini kelak akan menanggung dosanya dan dosa para pengikutnya yang tertipu dan tersesat.

Imam Malik Bin Anas berkata, “Barangsiapa menganggap baik perbuatan bid’ah, sama dengan menuduh Nabi Muhammad telah mengkhianati risalahnya”.

Imam Syafi’ berkata : Andaikata aku mengetahui ahli Bidaah itu dapat berjalan di angkasa, aku tetap tidak akan menerimanya.

Amar Bin Yahya pernah berkata, “Aku pernah mendengar ayah menceritakan dari datuk , “Kami pernah duduk di pintu rumah Abdullah Bin Mas’ud sebelum solat subuh. Tiba-tiba Abu Musa datang, lantas bertanya : Apakah tadi Abu Abdul Rahman datang?. Kami menjawab : Tidak. Lantas ia duduk bersama kami, sampai beliau datang. Dan tatkala ia datang, kami semua berdiri mendampinginya. Kemudian Abu Musa bertanya kepada Abu Abdul Rahman, “Hai Abu Abdul Rahman sesungguhnya saya tadi melihat di masjid ada satu perkara yang belum pernah saya lihat. Menurut anggapanku, perbuatan itu adalah baik”. Abu Abdul Rahman kemudian bertanya, “Apakah dia itu?” Jawab Abu Musa “Jika kau mahu, akan saya terangkan. Iaitu tadi aku melihat di masjid ada satu kumpulan duduk dalam bulatan sambil menantikan solat, dalam tiap-tiap bulatan ada seorang lelaki membawa batu kerikil, seraya ia berkata: Bacalah takbir seratus kali, merekapun kemudian bertakbir 100 kali. Dan ia berkata : Bacalah Lailahaillallah 100 kali! Mereka pun kemudian membacanya 100 kali juga. Lalu ia berkata : Bacalah Subhanallah 100 kali! Mereka pun kemudian membacanya! Mereka pun kemudian membacanya 100 kali juga”.

Mereka kemudian berkata, “Demi Allah kami tiada bemaksud melainkan yang benar”.

Abu Abdul Rahman kemudian menyanggahnya, “Banyak sekali orang yang bermaksud berbuat baik, tetapi mereka tidak mendapatnya”.

Para ulama mendefinisikan bid’ah ialah satu cara ibadah yang direka orang yang menyerupai syarak (agama); yang dimaksud dengan ‘cara’ di sini ialah sebagaimana yang dilakukan oleh syarak dengan tujuan untuk mengabdi kepada Allah dengan berlebih-lebihan.

Orang yang membuat cara baru dalam bentuk apa pun yang disandarkan pada agama (ibadah), dapat dicop sebagai penipu agama. Mereka mengkhayalkan kebatilannya itu untuk dilihatkan kepada orang lain sebagai sesuatu yang benar (haq) . Mereka gemar membuat sesuatu perkara yang nampaknya seolah-olah agama tetapi pada hakikatnya menyimpang dari tuntutan agama.

Sabda Nabi yang bermaksud :

“Barangsiapa mengada-ada cara baru tentang urusan kami (ibadah) ini, padahal tidak bersumber darinya, dia itu tertolak”.

(Hadis Riwayat Muslim)

“Barangsiapa beramal satu amalan (ibadah) yang tidak ada contoh dari kami, ia tertolak”
(Hadis Riwayat Muslim)

Bila bid’ah bermaharajalela ianya merupakan kesempatan bagi musuh-musuh Islam untuk menghancurkan Islam. Dengan tersebar luasnya perbuatan dan amalan bid’ah di kalangan pemeluk-pemeluk Islam yang jahil, orang ramai akan menyangka amalan bid’ah itu adalah dari agama Allah yang murni. Akibatnya yang murni menjadi kabur dan rosak.

Ada yang berpendapat bahawa untuk melumpuhkan kemajuan Islam, harus dibesar-besarkan bid’ah dan khurafat, kerana kedua hal ini merupakan penghalang bagi cepatnya perkembangan Islam.

Mengapa bid’ah dapat melumpuhkan potensi Islam dan dapat menghancurkan pemerintahan? Sebabnya bid’ah merupakan tipuan yang tak ubahnya dengan tipuan dalam perdagangan. Barang yang baik dicampur dengan barang yang buruk yang kemudiannya dibawa ke pasar untuk ditawarkan kepada orang ramai seraya dikatakan bahawa barang tersebut adalah baik, tidak cacat dan tidak ada aib sedikit pun.

Sedangkan dalam hal ibadah, kita wajib berittiba’(mengikut sepenuhnya tanpa pindaan) kerana itu adalah asas dalam agama. Jadi mereka model-model dan cara-cara baru dalam ibadah adalah bid’ah yang sesat dan terkutuk.

Apabila sesuatu perkara bid’ah itu dihubungkan dengan agama, misalnya minta upah kerana membaca Al Quran ketika menghantarkan mayat dengan maksud bertaqarrub kepada Allah, perkara seperti itu merupakan perbuatan dosa dan maksiat yang berlipat ganda.

Manakala dalam urusan muamalah , dasarnya pula ialah mengikuti perkembangan kemaslahatan umat.

Firman Allah swt :

Lebih kurang ertinya :

“…..dan berbuat baiklah kamu sekelian agar kamu memperolehi kejayaan.”
(Al-Haj ayat 77)

Lebih kurang ertinya :

“...... dan bertolong-tolonglah kamu sekalian untuk kebaikan dan ketakwaan”.
(Al-Maidah ayat 2)

Berbuat baik dan tolong menolong untuk kebaikan dan bertakwa adalah soal-soal yang pelaksanaannya diserahkan penuh kepada kita, sehingga kita bebas membuat cara-cara baru. Cara-cara baru tersebut tidak boleh disalahkan dan ditolak.

Allah swt berfirman :

Maksudnya lebih kurang :

“ Wahai orang-orang yang beriman! Ingatlah kepada Allah dengan sungguh-sungguh ingat yang banyak dan bertasbihlah kepada Allah di waktu pagi dan petang”.

(Al Ahzab ayat 41-42)

Perintah memperbanyak zikir dan bertasbih seperti tersebut di atas, bukanlah bererti memberi kebebasan kepada setiap orang untuk menambah rakaat sembahyang, azan dan sembahyang hari raya atau menyusun wirid yang kemudian ditetapkan untuk selalu dibaca dalam waktu-waktu tertentu.

Ibadah-ibadah ini pokok persoalannya adalah masalah akhirat. Sedangkan masalah akhirat itu ghaib bagi manusia.

Kerana itu, biar bagaimanapun tingginya kedudukan seseorang, mereka tidak mempunyai hak dan kebebasan untuk menambah cara-cara baru. Sedangkan dalam masalah keduniaan, tidak ada satu pun halangan untuk melaksanakan satu perintah dengan berbagai macam cara, baik cara-cara itu sudah pernah dipakai oleh orang-orang dahulu mahu pun belum. Misalnya tentang menjaga hak dan harta orang lain serta mengatur kemaslahatan umat, kesemuanya itu merupakan maksud yang menjadi matlamat syariat Islam.

Bid’ah yang diharamkan oleh syarak berkisar pada masalah ubudiyah yang sama sekali tidak dapat diagak-agak atau diijtihadkan.

Orang yang mengerjakan satu perbuatan (ibadah) yang tidak pernah dicontohkan oleh Nabi s.a.w. , sama seperti meninggalkan perintahnya.

Apabila sudah pasti bahawa Rasulullah saw tidak pernah mengerjakannya, kita wajib meninggalkannya sekalipun larangannya tidak ada. Dan kalau kita kerjakan, itu termasuk bidaah.

Sebagai contoh , amalan ta’ziyah (bela sungkawa) terhadap orang yang meninggal dunia dengan membaca Al Quran dan berkumpul dengan makan-makan bersama.

Mencari rahmat dan pahala memang sudah ada sejak dahulu, tetapi cara tersebut tidak pernah terjadi pada masa Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya. Padahal, waktu itu sudah ramai orang yang mati dan sahabat-sahabat r.a. pun adalah di kalangan mereka yang sentiasa mencari rahmat. Waktu itu tidak ada seorang pun yang mendirikan khemah kemudian diadakan pembacaan Al Quran dan berkabung berganti-ganti.

Tradisi ini jelas hukumnya bid’ah dan agama tidak membenarkannya kerana Rasulullah s.a.w. tidak pernah mengerjakannya, walaupun larangannya pun tidak ada. Jika tradisi itu kita biarkan, kita setujui dengan alasan mencari keredaan Allah dan untuk menghantarkan orang yang pergi (mayat) supaya mendapat kasih dan rahmat Allah swt, kita sebenarnya berburuk sangka (su’u zhon) terhadap peribadi Rasulullah s.a.w. dan sahabat-sahabatnya.

Nauzubillahimin zalik!

Contoh lain ialah melafazkan niat ketika akan mengerjakan ibadah (seperti membaca ‘Usalli’ ketika hendak memulakan solat) , padahal Rasulullah s.a.w. tidak pernah mengerjakannya.

Amalan tersebut wajib kita tinggalkan dan bid’ah hukumnya kalau dikerjakan.

Kami merasa sangat khuatir terhadap amalan ibadah yang banyak dikerjakan orang yang nabi sendiri dan para sahabat tidak pernah mengamalkannya. Padahal merekalah sebenarnya yang lebih patut untuk mengamalkannya kalau sekiranya hal tersebut dipandang baik sebagai jalan untuk bertaqarrub kepada Allah swt.

Mengapa kita harus memberatkan diri terhadap sesuatu yang Allah sendiri sudah memberikan keringanan (rukhsah)? Mengapa pula kita harus menyibukkan diri pada sesuatu yang Allah sendiri mendiamkannya? Bahkan Nabi s.a.w. sendiri pernah bersabda yang bermaksud :

“Sesungguhnya Allah telah menetapkan beberapa ketetapan maka jangan kamu sia-siakan dia. Allah telah menentukan beberapa ketentuan, maka jangan langgar dia. Allah telah mendiamkan beberapa perkara sebagai rahmat untuk kamu bukan lantaran lupa, maka jangan kamu perbincangkan dia”.

Misalnya, Imam berdoa sesudah solat subuh dan asar sambil menghadap makmum dan disambut oleh makmum dengan bacaan amin. Nabi tidak pernah berbuat demikian walaupun sekali.

Bid’ah Haqiqi

Bid’ah Haqiqi misalnya tawaf di kuburan orang yang sudah meninggal dunia seperti tawaf di Baitullah. Contoh lain misalnya membujang seperti pendeta dengan menganggap dirinya suci.

Bid’ah semacam ini tidak banyak terdapat di kalangan masyarakat.

Bidaah Idafi

Bid’ah idafi ialah masalah-masalah yang dapat ditinjau dari berbagai segi; dari satu sudut boleh menjadi sunnah tapi dari sudut lain boleh menjadi bid’ah.

Jika dilihat dari satu sudut, kita akan menjumpai bahawa masalah tersebut berlandaskan kaedah yang baik dan nas yang jelas. Tetapi jika dilihat dari sudut lain, kita dapati unsur-unsur bid’ah yang jelas. Contohnya, membaca tasbih (subhanallah), tahmid (alhamdulillah) dan takbir (Allahu Akbar) sesudah solat. Kesemuanya itu merupakan sunnah dan seluruh ulama sudah menyepakatinya. Tidak satu pun di antara mereka yang menentangnya kerana memang ada dalil-dalil dari beberapa hadis sahih. Bahkan Rasulullah saw dan para sahabatnya selalu berbuat demikian. Namun mereka melakukannya dengan sendiri-sendiri dan dengan sirri (tersembunyi).

Kemudian ada orang yang sengaja menyusun wirid dan zikir, dan ada seorang yang bertindak sebagai pemimpin dan kemudian orang ramai dikumpulkan untuk mengikuti bacaannya.

Cara-cara tersebut dijadikan kebiasaan setiap selesai solat dengan irama yang dibuat-buat. Orang ramai kemudian mengikutinya dan disambutnya dengan bacaan amin.

Bertasbih, tahmid dan takbir setelah solat adalah sunnah tetapi cara yang dibuat-buat inilah yang termasuk bid’ah. Mereka sudah mengetahui bahawa asas yang digunapakai dalam amalannya adalah hadis yang datang dari Rasulullah s.a.w. Tetapi, anehnya, mereka beranggapan bahawa cara semacam itu ( berzikir secara beramai-ramai dengan suara yang kuat) sebagai salah satu langkah untuk menegakkan sunnah Rasulullah s.a.w.

Contoh bidaah Idafi yang lain adalah seperti membaca selawat sebelum azan sehingga orang awam mengira bahawa bacaan tersebut merupakan sebahagian daripada azan. Padahal yang sebenarnya kalimat-kalimat azan itu adalah terpelihara dan sudah menjadi ketetapan syarak.

Cara-cara seperti inilah yang dapat digolongkan bidaah Idafi. Namun anehnya, para mu’azin sebaliknya merasa selesa dan gembira menggunakan cara tersebut untuk memanggil orang beribadah kepada Allah. Dengan demikian, status azan yang tadinya sunnah berubah menjadi bid’ah dan sia-sia.

Dari sekian contoh di atas dapat disimpulkan bahawa bid’ah Idafi itu umumnya berupa amalan-amalan yang diambil dari ajaran agama, tetapi diamalkan dengan cara yang keluar dari batas yang telah ditentukan oleh agama itu sendiri. Ajaran-ajaran agama itu tak ubahnya seperti anggota tubuh yang lengkap dengan pancaindera dan perhiasannya. Jika kaki pindah ke tempat tangan dan telinga pindah ke tempat hidung atau sebaliknya, nescaya amatlah janggal dan hodoh, walaupun pemindahan itu tidak mengambil anggota lain di luar tubuh.

Contoh seterusnya ialah mengadakan solat khusus bulan Rejab dan Syaaban dengan maksud tertentu. Malangnya, ada sebahagian ulama yang beranggapan amalan tersebut dibolehkan dengan alasan memandang prinsip bahawa sembahyang bukanlah perbuatan mungkar.

Khusus dalam masalah sembahyang ini, Imam Nawawi pernah berkata, “Bahawa kedua macam sembahyang tersebut adalah mungkar”.

Begitu juga, membaca Al Quran dan zikir di hadapan jenazah dengan suara keras, termasuk bid’ah Idafi. Tentang membaca Al Quran dan zikir itu sendiri memang sudah jelas ada dalam Islam, tetapi bukan dengan cara demikian.

Puasa pada tanggal 27 Rejab (dikatakan tarikh Isra’ Mi’raj) dan 15 Syaaban (nisfu Syaaban) termasuk bidah Idafi. Prinsip puasa memang ibadah yang dibenarkan, tetapi dengan mengkhususkan pada hari-hari tersebut hukumnya bid’ah.

Dengan demikian, jelaslah bahawa orang yang mengerjakan bid’ah itu bererti mencampuradukkan amalan soleh dengan yang batil, sekalipun untuk tujuan yang baik.

Amalan-amalan sebagaimana disebutkan tadi itu tidak lain kerana kebodohan mereka tentang sunnah dan kerana berfikiran jumud (sempit) ; tidak mahu menilai dan mengkaji ajaran yang dibawa oleh orang-orang jahil.

Harapan kami semoga dengan memahami kejanggalan amalan-amalan tersebut, sedikit sebanyak dapat memberikan semangat untuk mereka mempelajari hakikat ajaran Islam yang sebenarnya.

Kami berharap, dalam membanteras seluruh macam bid’ah itu hendaknya dilakukan dengan beransur-ansur dan dengan sikap lemah lembut serta memberikan penjelasan yang berhikmah kepada mereka yang mengamalkannya. Hal ini dilakukan untuk menjaga dari segala macam kekaburan yang selama ini menyelubunginya, juga untuk menjaga agar jangan sampai nasihat-nasihat yang demikian baik itu bertukar menjadi fitnah yang menyerang pula soal-soal yang tidak ada kaitannya.

Masalah A’diyah

Memasukkan persoalan a’diyah ke dalam bidang ibadah merupakan bahaya besar bagi agama dan umat manusia umumnya.

Contohnya, Rasulullah s.a.w. memakai terompah yang disepit dengan dua jari kaki (Riwayat Imam lima kecuali Muslim). Adakah memakai terompah seperti itu termasuk sunnah ugama? Apakah orang yang tidak memakai terompah seperti itu bererti meninggalkan sunnah? Atau sama sekali didiamkan?

Contoh lain, ialah kaum muslimin (termasuk Rasulullah) dan musyrikin di zaman Rasulullah berpakaian putih dan memakai tutup kepala dari terik matahari yang membakar. Apakah pakaian putih dan menutup kepala juga disunatkan bagi penduduk-penduduk negeri sejuk, semata-mata kerana Rasulullah s.a.w. berpakaian begitu.

Ustad Al Adawi berkata: “Yang termasuk bid’ah pada masalah ‘adiyah, contohnya, ialah menghias masjid dengan berbagai warna yang dapat mengganggu orang yang sedang melakukan solat . Begitu juga lantai yang beraneka warna dan menggantungkan lampu-lampu yang harganya sangat mahal”.

Sedangkan yang dianjurkan ialah membina masjid yang luas cukup untuk menampung jemaah dengan tinggi yang munasabah, dindingnya nampak bersih, dicat dengan warna yang tidak mengganggu orang bersembahyang dan tikar solah yang sederhana.

Sebenarnya seluruh persoalan ‘adiyah, baik fi’liyah ( perbuatan ) atau qauliah ( perkataan ) bukan termasuk risalah yang dibawa oleh nabi s.a.w. Sebabnya, masalah-masalah duniawi selalu berkembang yang mungkin diijtihadkan dengan seluas-luasnya; mungkin dikurangi, ditambah malah ditinggalkan.

Menetapkan mestinya mengikut nabi s.a.w. dalam hal-hal duniawi menunjukkan kejumudan ( sempitnya ) berfikir dan amat berbahaya untuk kehidupan.

Mundurnya kaum muslimin dalam segala lapangan hidup seperti yang kita alami sekarang ini mungkin berpunca pada berbagai ikatan dan halangan yang berdalih “Demi berpegang pada ajaran Islam”. Akibatnya mereka terus hidup dalam belenggu ini. Mereka tidak dapat bergerak seperti yang dilakukan oleh orang lain.

Menjunjung tinggi belenggu-belengu kebatilan ini, bererti melepaskan kesempurnaan jiwa dan inti ajaran agama. Dengan begitu, hubungannya dengan agama menjadi retak, hubungannya dengan lapangan keduniannya pun menjadi kacau. Akhirnya mereka lari dari dunia ini.


2. BID’AH DALAM AKIDAH

Banyak sekali noda-noda yang secara lahiriahnya nampat taat kepada Allah tetapi pada hakikatnya melanggar hukum dan norma-norma yang ditetapkan Allah.

Tidakkah telah dimaklumi, betapa orang-orang musyrikin itu bertelanjang bulat waktu tawaf di Baitullah, baik lelaki mahupun perempuan dengan alasan tidak layak di Baitullah berpakaian yang dipakai berbuat maksiat kepada Allah.

Di antara sekian banyak yang terjadi di kalangan orang awam ialah pergi ke kubur orang-orang soleh untuk sesuatu yang tidak patut dipinta kecuali kepada Allah semata-mata.

Perasaan kurang puas dalam berhubungan dengan Allah tanpa wasilah, merupakan adat kebiasaan kaum Watsaniyah, penyembah berhala. Alasan-alasan mereka itu seperti firmannya yang bermaksud :

“Kami tidak menyembah berhala-berhala itu melainkan supaya mereka itu mendekatkan kami kepada Allah.
(Az Zumar : 3)

Alasan ini pula yang dipakai kaum jahiliah moden untuk membela pengunjung kubur untuk minta sembuh dan keberuntungan, serta mencari keluhuran dan pertolongan.

Beraneka macam khurafat mengelilingi masalah wali dan kewalian. Sehingga lama-kelamaan ramai orang-orang yang beranggapan bahawa nasib dunia berada di tangan para wali. Merekalah yang mengendalikan dunia dengan sesuka hatinya.

Orang-orang yang dianggapnya wali itu kekuasaannya dapat melampaui hukum sebab akibat. Akibat dari itu, pandangan kaum muslimin terhadap sunnatullah yang berhubungan dengan alam ini menjadi kacau bilau. Mereka beranggapan bahawa sunnatullah akan tunduk kepada orang yang tekun beribadah.

Yang jelas, anggapan-anggapan itu semua, sudah bercampur aduk berasal dari pengaruh-pengaruh jahiliah.

Berhala adalah batu yang layak dipakai untuk membina bangunan atau untuk membina jalan. Inilah keistimewaannya. Selain dari itu sama sekali tidak ada, tidak seperti yang dianggap oleh penyembah-penyembahnya.

‘Lembu’ yang dijadikan persembahan oleh orang-orang Hindu, keistimewaannya, adalah susunya yang dapat diminum dan dagingnya untuk dimakan. Selain itu sama sekali tidak ada, baik mengenai kesuciannya atau pun dekatnya kepada Allah.

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah melihat seorang lelaki memakai gelang di lengannya dari tembaga kemudian beliau bertanya, “Celaka kau, apa ini? “Jawab lelaki tersebut, “Ini adalah benda yang lemah”. Kemudian Rasulullah bersabda : “Ingat sesungguhnya dia hanya menambah kelemahanmu. Kerana itu buang dia. Kerana kalau kamu mati sedang dia masih tetap kamu pakai, selamanya kamu tidak akan selamat.”

Kadang-kadang kita jumpai sebahagian orang menggunakan Al Quran sebagai pelindung dirinya dengan beranggapan bahawa Al Quran tersebut dapat melindungi diri dari muflis, kalau dia sebagai pedagang atau dapat menolak tamparan kepala kalau dia sebagai pegawai.

Ini adalah kekacauan fikiran yang sudah sangat parah. Kalau dia masih beranggapan beriman kepada Allah dan meluhurkan Al Quran, sesungguhnya itu adalah anggapan yang salah. Hubungan seorang muslim dengan Al Quran, adalah mempelajari dan mengamalkan isi kandungannya.

Kalau dia sebagai pegawai dan pedagang supaya berjaya dalam usahanya, dia mesti bekerja kuat, tidak malas, jujur dan jangan menyeleweng.

Kekeliruan terhadap prinsip ini tidak dapat ditebus dengan dengan menggantungkan Al Quran kecil atau pun besar.

Firman Allah s.w.t. ertinya lebih kurang:

“Dengan al-Quran itu Allah membimbing orang-orang yang mengikuti keredhaanNya ke jalan keselamatan”
(Al-Maidah ayat 16)

“Dengan nyamuk Allh sesatkan orang ramai, tetapi dengan sebab itu juga Ia bimbing orang ramai”

(Al-Baqarah ayat 26)
Aishah r.a. pernah berkata, “ Aku belajar ilmu pengubatan kerana banyak penyakit-penyakit Rasulullah s.a.w.
Ayat-ayat dan hadis di atas menegaskan bahawa Allah membuat sesuatu dengan sebab. Kerana itu barangsiapa berpendapat bahawa Allah membuat sesuatu ketika adanya sebab-sebab ini, bukan dengan sebab-sebab tersebut, sesungguhnya dia telah menyimpang dari garis yang dibawa Al Quran dan menentang adanya tenaga dan daya yang telah di cipta Allah sendiri.
Perasaan Nasionalisma

Kehancuran dan seksaan yang memuncak ke atas umat Islam silam dan masakini kemungkinan besar disebabkan mereka telah membuang risalah Islam yang universal itu menjadi risalah nasional ( kebangsaan ). Ini merupakan pokok seluruh bencana yang menimpa mereka. Dan ini sungguh merupakan bahaya yang sangat besar untuk masa depan umat manusia.

Kepada kaum muslimin, kami ingin mengingatkan hendaklah mereka dapat menyedari dan menilai realiti yang ada :

1. Bahawa mengembalikan manusia kepada situasi jahiliyah dengan fanatik pada tanahair, warna dan darah adalah satu bentuk faham politheis (syirik) yang tidak patut bagi kita.

2. Kembali kepada tatacara ini hanya akan membawa kerugian bagi Islam dan kaum muslimin serta menguntungkan bagi Eropah.

Kaum Salib antarabangsa menghancurkan dan meruntuhkan Islam dengan tabir nasionalisme. Bahayanya tidak kurang daripada perbuatan gerakan Zionis. Akibatnya kaum muslimin menderita dalam masa yang lama sekali.


3. BIDAAH DALAM IBADAH

Lawan ‘zikir’ adalah ‘lupa’ yang merupakan pekerjaan hati, bukan pekerjaan lidah. Kerana itu kadang-kadang kita jumpai ada sebahagian orang yang mempunyai ingatan yang tajam dan baik yang dapat memenuhi seluruh jiwanya, padahal lidahnya sama sekali tidak bergerak dan tidak satu pun anggota badannya yang berubah. Ketenangan badannya itu menolong untuk selalu ingat. Jika dia tunduk dan tenggelam, jiwanya dengan sempurna dapat membentuk seluruh lukisan yang dimaksud. Gerakan lidah waktu itu hanya sekadar manifestasi, bukan satu natijah dari meluasnya perasaan.

Banyak sekali orang pendiam yang tidak keluar satu pun huruf dari mulutnya, namun hatinya penuh ingat kepada Allah. Sebaliknya, orang yang lidahnya bergerak-gerak menyebut asma Allah, tetapi hatinya kosong dari berzikrullah. Orang seperti itu tak ubahnya seperti pita rakaman Al Quran. Dia akan menyuarakan ayat-ayat sebanyak yang dirakam itu, tetapi tidak mempunyai tanggungjawab hukum sama sekali. Mereka ini tidak mendapat pahala ataupun seksa.

Adalah suatu kebaikan bagi setiap muslim jika mahu membiasakan membawa zikir-zikir tersebut ( tasbih, tahmid dan takbir dan sebagainya) dan menanamkan pengaruh-pengaruh positif ke dalam jiwanya. Tetapi sayang sekali, banyak kita jumpai kekeliruan yang melampaui batas. Sehingga untuk mengulangi-ulangi bacaan zikir tersebut itu, mereka terpaksa berhenti dari bekerja.

Kalau ada sebahagian orang membuat program membaca Al Quran, berdoa dan berzikir sesuai dengan keperluannya, itu tidak dapat dikategorikan sebagai ketentuan agama. Orang lain juga tidak boleh diharuskan untuk menirunya.

Sehingga banyak pengikut tarikat membuat wirid-wirid khusus untuk pagi dan petang, yang dirangkaikan pula dengan solat-solat tertentu sebagai satu ketentuan agama.

Kami sudah banyak menyaksikan orang yang bergelumang dalam wirid-wirid. Pada umumnya mereka itu mengabaikan dunia ilmu pengetahuan dan pendidikan. Dan kami yakin pula bahawa kemunduran Islam dalam lapangan pengeluaran atau pun kekayaan, disebabkan oleh manusia-manusia seperti ini. Sebabnya tidak lain mereka itu telah sesat dari tuntutan Rasulullah s.a.w., sehingga mereka menyimpang dari jalan yang lurus.

Allah swt berfirman :
Artinya :

“Orang yang bertakwa kepada Allah dari hamba-hambanya ialah orang-orang yang berilmu pengetahuan”.

(Fathir : 2

Memperluaskan perkenalan kepada Allah merupakan Ibadah yang tertinggi. Dan mengenal Allah dalam kerajaannya yang luas ini, bererti menyambut seruan Allah yang dituangkan dalam kitab-kitabNya. Kesimpulan-kesimpulan yang dihasilkan oleh ilmu pengetahuan alam tidak lain hanya akan sesuai dengan wahyu yang datang dari sisi hukum material. Kedua-duanya itu juga datangnya dari Allah semata-mata.

Mempersempitkan pengertian “amal soleh” hanya dalam bidang ibadah semata-mata, dapat membawa orang-orang yang ingin bertakwa menghabiskan seluruh waktunya hanya untuk mengulang-ulang perbuatan-perbuatan yang terbatas ini. Seolah-olah mereka tidak kenal cara lain untuk mencari keredhaan Allah.

Dengan tekun mereka mengerjakan amal-amal ini. Kalau sudah selesai diulang lagi. Begitulah seterusnya.

Apa yang kami tentang adalah adanya perasaan bahawa yang disebut taat kepada Allah itu hanya bergelumang dengan zikir, membaca al-Quran dan solat dengan mengulang-ulang sahaja.

Apakah anda mengira bahawa seorang hakim yang sibuk menyelesaikan persengketaan dan bangun malam untuk mempersiapkan hukumnya, itu kurang mendapat keredaan Allah dibandingkan dengan orang yang tekun membaca Al Quran?

Apakah anda menduga, bahawa guru yang berjuang untuk membenteras kejahilan, dengan bangun malam untuk mempersiapkan pelajaran-pelajaran, itu nilainya lebih rendah dibandingkan dengan orang yang bergelumang dalam zikir?. Tidak, bahkan kedua-duanya lebih dekat kepada Allah dan lebih dekat dengan jalan yang benar.

Kerana itulah orang yang tidur lelap pada malam hari kerana kepenatan membanting tulang di siang hari dinilai sebagai mujtahid. Dia dapat tidur dan bangun dengan mata Allah, selama kesucian hatinya itu hidup.

Kekeliruan memahami erti ibadah, akan memesongkan kemajuan dan kebudayaan kita dari jalan yang benar dan menyebabkan kita menganggap orang yang bodoh sebagai pandai dan sebaliknya. Dan inilah sebab kehancuran yang kini menimpa bangsa kita.

Akhir-akhir ini saya melihat ada sebahagian pemuda yang fanatik kepada agama. Mereka hendak meniru-niru cara-cara yang tidak benar itu. Dia beranggapan bahawa perwujudan keikhlasan kepada Allah dapat dicapai dengan bergaul dengan salah satu jamaah dari jamaah Islam, memberi nasihat dan petua, serta membaca bacaan-bacaan yang panjang dalam kitab-kitab tafsir dan fiqih. Kadang-kadang sesudah itu dia menjadi doktor yang tidak berfungsi dan jurutera yang tidak bersemangat.

Saya sangat hairan, apa yang menyebabkan doktor tersebut harus mengesampingkan fungsinya yang mulia itu? Mengapa dia tidak tahu, bahawa pembedahan yang baik dan ubat yang sesuai itu termasuk puncak amal soleh yang oleh Islam dinilai sebagai satu sendi kejayaan dan jalan untuk mencapai kejayaan? Dan nilai perbuatan ini tidak kurang daripada nilai solat dan zakat.

Menguasai dunia adalah satu hal yang mesti, dalam rangka pengabdian kepada agama. Tidak ada tempat di dunia ini bagi orang yang tidak mengetahui ilmu pengetahuan duniawi.

Kerana itu, Imam Abu Hanifah pernah berkata, “Jangan kamu bertukar fikiran dengan orang yang di rumahnya tidak ada tepung”.

Perkataan ini sungguh berharga sekali. Kalau sekiranya ahli-ahli tasawuf dapat memahami cara-cara seperti tersebut di atas, dia termasuk Islam. Kalau tidak bererti dia telah rosak.

Bukanlah yang dimaksud takwa itu mesti meninggalkan kehidupan duniawi. Yang dinamakan takwa itu seharusnya dapat menguasai duniawi. Jika dunia dapat dikuasai, bererti anda benar-benar hamba Allah dan kekayaan yang di tangan anda itu juga milik Allah.

Orang yang lari dari kehidupan duniawi bukanlah orang yang bijaksana dan bukan mukmin sejati.

Termasuk kurang sihat akalnya orang yang berpendirian bahawa keredaan Allah hanya dapat ditempuh dengan mengkhususkan dalam sebahagian ibadah dan menjauhi sebahagian yang lain.

Beribadah kepada Allah dapat dilakukan di pasar dan di semua lapangan, bukan hanya di masjid dan di surau-surau.



Alangkah indahnya apa yang diungkapkan oleh penyair Iqbal :

- Orang kafir akan menjadi hamba kepada dunia Sedangkan dunia akan menjadi hamba kepada orang mukmin

Saya sendiri tidak tahu, bagaimana suatu risalah dapat berjaya sedangkan pembawaannya selalu terkebelakang dari umat lain dalam lapangan penghidupan. Dan saya pun tidak tahu, mengapa dapat begitu tersiar bahawa membawa tasbih itu bererti ibadah, sedangkan menghayunkan kapak bererti hanya kerja peribadi sahaja.

Menghias Masjid

Masjid bukanlah tempat untuk memperkenalkan keindahan seni, tidak pula untuk mempamerkan keelokan teknik dan bukan tempat untuk berbuat berlebihan dan bermegah-megah.

Menurut sunnah Nabi, atap mahupun lantai masjid itu menggambarkan bentuk kesederhanaan. Memperluas masjid tidak juga dilarang, bahkan suatu perbuatan yang baik sehingga dapat menampung beribu-ribu jemaah. Memperbesarkannya sehingga dapat menyerupai benteng juga tidak dilarang. Perbuatan semacam ini tidak termasuk berlebih-lebihan dalam memperelok masjid dan menakjubkan pandangan orang.

Tetapi sebahagian orang ada yang cenderung memperhias dan memperelok bangunan masjid, kerana didorong menyaingi gereja-gereja Kristian yang memang sengaja dibuat secara berlebih-lebihan. Kami memandang, berjalan mengikuti jiwa Islam adalah lebih baik. Sebabnya bertakwa kepada Allah bukanlah pembebanan seperti tersebut di atas.

Membangun masjid di atas kubur

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :

“Mereka itu ialah orang-orang yang apabila salah seorang soleh di antara mereka meninggal dunia, kemudian mereka mendirikan masjid (tempat sembahyang) di atas kuburnya dan disertai dengan berbagai lukisan. Mereka itu adalah seburuk-buruk makhluk di sisi Allah”.

Kami pernah menyaksikan dengan mata kepala sendiri berpuluh-puluh surat yang ditujukan kepada makam Imam Syafi’ baik yang dibawa tangan atau pun melalui pos. Saya pun telah mendengar, ada beratus orang awam yang meringik-ringik di hadapan kubur Sayyidina Husein dan lain-lain.

Cara untuk mengubati kemungkaran ini, hanya dapat diselesaikan dengan jalan menyebarluaskan ilmu pengetahuan dan akhlak yang sebenarnya serta memperbaiki cara berfikir.

Kerana itu seharusnya para imam masjid mengambil peranan besar ini. Untuk itu mereka perlu menguasai persoalan-persoalan dunia dan agama. Hendaknya mereka suka mempelajari penyakit masyarakat dan bagaimana cara mengubatinya. Mereka juga harus menguasai pengetahuan yang luas tentang aliran-aliran politik dan sosial ekonomi, serta pendapat para ahli pendidik dan ilmu jiwa, baik di kalangan kaum muslimin ataupun orang lain. Tetapi satu hal yang cukup kita sesalkan, bahawa manusia seperti ini tidak terdapat di kalangan ahli baca Al Quran, kecuali hanya segelintir sahaja

Masalah Khutbah

Khutbah yang panjang seperti khutbah-khutbah yang pernah disusun oleh imam-imam masjid , pada hakikatnya bertentangan dengan tuntutan Islam. Banyak sekali para da’i yang berpidato satu jam atau dua jam, bahkan ada sampai tiga jam.



Tiga jam adalah cukup untuk membaca seperempat Al Quran yang diturunkan Allah s.w.t. secara beransur-ansur selama 23 tahun.



Yang jelas dakwah Islamiah yang dilakukan dengan pidato-pidato tanpa persiapan, keberanian yang bermusim hanyalah sekadar mengisi waktu kosong untuk orang-orang yang ingin berbuat baik dan dengan jiwa yang mati bagi orang-orang yang hendak mencari pekerjaan. Akhirnya masa depan dakwah Islamiah sangat memmbimbangkan. Begitu juga masa depan Islam berjalan seiring dengan dakwah ini.

BIDAAH DALAM ADAT KEBIASAAN

Orang-Orang Timur mempunyai tradisi yang tidak dikenal di negara-negara lain. Segolongan manusia terkeliru bila menyaksikan sebahagian orang Islam yang memegang teguh tradisi ini. Sehingga dianggapnya tradisi tersebut tumbuh dari prinsip-prinsip agama dan syariat Allah. Atau paling tidak, tradisi itu dianggapnya sesuai dengan perasaan-perasaan yang sudah dikenal dalam agama kita. Anggapan ini tidak benar, kerana tradisi-tradisi bangsa timur bukan prinsip-prinsip agama, dan amal perbuatan manusia bukanlah perintah-perintah Allah.

Firman Allah swt
Ertinya :

“Sesungguhnya nenek moyang mereka itu dalam keadaan sesat. Kemudian mereka dengan segera (meniru) jejak-jejak mereka itu. Padahal sesungguhnya kebanyakan orang-orang dulu sebelum mereka telah sesat dan kepada mereka telah kami utus beberapa nabi yang bertugas untuk menyedarkan (munzirin). Kerana itu, lihatlah betapa akibatnya orang-orang yang diancam itu! Kecuali hamba-hamba Allah yang dibersihkan”.

(Ash Shaffat : 69-74)

Kita hendaklah ittiba’ (mengikut) dalam hal ibadah dan masalah duniawi hendaklah kita permoden dan majukan. Ini saja sudah cukup untuk dapat memimpin kehidupan kita. Tetapi sebahagian kaum muslimin ada yang membuat sebaliknya, dia bersikap jumud (sempit) dalam hal yang seharusnya dia mesti bergerak. Dia bertindak mengubah dan menambah sewenang-wenangnya dalam hal yang seharusnya membatasi diri.

Kesalahan seperti ini dapat membawa kaum muslimin pada hidup yang tidak menentu. Urusan keduniaannya menjadi sempit dan urusan agamanya menjadi kabur.

Sesungguhnya perjuangan untuk membersihkan tradisi-tradisi ibadat dari segala macam bid’ah yang telah bersarang itu tidak boleh ditangguhkan.


Bid’ah dalam urusan jenazah


Saya sudah sering menyaksikan beberapa orang miskin yang kekurangan makan, tetapi dia berani berhutang untuk menghidupkan tradisi-tradisi yang menyimpang sebagai ketentuan agama atau lebih dari agama.


Diupah pembaca-pembaca al-Quran untuk satu atau dua malam, dilanjutkan seminggu atau dua minggu.


Pengorbanan berupa moral mahupun material ini diulang pada hari ke 40 , satu tahun, dua tahun dan seterusnya.


Tradisi-tradisi ini sama sekali tidak dapat diterima oleh orang-orang yang mempunyai kefahaman yang baik terhadap dunia ini, apalagi oleh orang-orang yang mempunyai pemahaman yang baik terhadap agama.


Berapa banyak tempat berhimpun yang harus kita sediakan untuk para tetamu yang ke kubur? Berapa banyak perayaan untuk minggu pertama, hari ke empat puluh dan ulang tahunnya yang pertama.

Tidak diragukan lagi, bahawa apa yang dilakukan oleh orang-orang Islam seperti ini menunjukkan kebodohannya.

Tetapi sayangnya ramai dari kalangan orang awam, termasuk juga ulama-ulama, yang mempertahankan kebodohan ini dalam bentuk-bentuk keagamaan yang mengaburkan.


Padahal Rasulullah s.a.w. pernah bersabda :

“Barangsiapa membaca inna lillahi wainna ilaihi raji’un ketika ditimpa musibah, Allah akan menghilangkan musibahnya itu dan memperbaiki keadaan selanjutnya serta memberikan ganti yang diredaiNya”.


Setiap muslim lelaki atau perempuan tidak boleh memakai pakaian khusus untuk berkabung atau membuat membuat tanda-tanda pada badannya, keadaannya, rumahnya dan pekerjaannya. Sebabnya pemergian seseorang ke akhirat, tidak bererti mencetuskan suasana krisis dan duka dalam percaturan hidup ini.

Persoalannya cukup seperti apa yang dikatakan oleh seorang ahli hikmah, “Di mana ada orang mati, di situ ada juga yang hidup”.

Tidak ada tempat dalam Islam untuk berteriak-teriak untuk mengiringi jenazah. Mengeraskan suara walaupun dengan membaca Al Quran tetap tidak boleh.

Semua ini bertentangan dengan apa yang terjadi terhadap jenazah orang-orang salaf. Mereka melakukannya dengan penuh khusyuk sehingga keluarga yang ditinggal mati itu tidak diketahui mereka diliputi kesusahan dan kesedihan walaupun oleh orang-orang yang menghantar jenazah. Sedikit pun mereka tidak termenung dan cemas ketika mengingat pada mayat itu. Mereka bergantung kepadaNya, sebab mereka juga datang dariNya.

Takziah (Belasungkawa) yang digariskan Islam cukup mudah. Tidak perlu orang yang kesusahan itu menyediakan sesuatu dan mempersiapkan tempat khusus untuk para tetamu yang datang untuk bertakziah.

Kini prinsip-prinsip akhlak itu telah goncang. Sudah menjadi kebiasaan, bahawa orang yang kesusahan, mesti pula menyediakan tempat khusus untuk bertakziah dan menghidangkan makanan-makanan dan minuman-minuman kepada para tetamunya. Padahal menurut Sunnah Nabi, keluarga yang kesusahan itu harus dibantu, misalnya dengan menyiapkan makanan untuk keluarganya. Bukan sebaliknya yang ditimpa kesusahan pula mesti menyediakan makanan dan minuman.

Sedangkan Imam Ahmad berkata, “Cara semacam ini adalah cara-cara jahiliah”. Kerana itu dia sangat membencinya.

Dengan kefahaman yang tersasar bahawa si mayat memperoleh faedah daripada perbuatan orang hidup, ramai orang awam yang mengupah pembaca Al Quran untuk membacakan Al Quran kepada si mayat atau dengan membahagi-bahagikan makanan kepada orang yang menziarahi jenazah.


Bid’ah dalam majlis perkahwinan

Kebanyakan majlis perkahwinan dilakukan dengan berlebih-lebihan dan memaksakan diri. Jarang sekali mereka yang mengadakan pesta perkahwinan itu dengan sederhana sahaja. Di antaranya mereka berlebih-lebihan dalam perkara yang hanya berstatus harus (mubah) sahaja. Mereka perluas ruangnya dan sehingga berlebih-lebihan, melebihi cara yang dilakukan oleh penganut agama-agama lain.

Perempuan-perempuan agama lain cukup berpakaian sederhana tapi kemas, sedangkan perempuan muslimah tidak mahu kalau tidak memakai kain yang termahal.

Seharusnya umat Islam mempermudahkan amalan tradisi yang menyebabkan pesta-pesta perkahwinan mereka itu hanya penuh dengan nafsu makan, riya’ dan perbuatan-perbuatan yang sia-sia dan tidak bererti itu.

Walimatul urus (pesta perkahwinan) merupakan satu tradisi yang baik dan perlu pengorbanan dan keringanan. Tetapi di sebalik tradisi yang baik itu, Islam tidak merestui adanya berlebih-lebihan dan bermewah-mewahan dalam makanan.

Isteri dan anak-anak Nabi s.a.w. kahwin , dengan suatu majlis yang tidak memberat-beratkan diri dan tidak berhutang. Kemudian lihatlah apa yang dilakukan oleh kaum muslimin dalam merayakan perkahwinan mereka. Berapa banyak belanja yang disediakan untuk membuat walimah sehingga tidak habis dimakan oleh yang lapar dan papa.


Perkahwinan dan ikatan keluarga

Umat Islam dewasa ini terbahagi kepada dua bahagian. Yang sebahagian tidak memberi tempat kepada kaum wanita, seperti yang terjadi di Yaman dan Hijaz. Sedangkan yang sebahagian lagi memberikan tempat kaum wanita tetapi terkeliru. Kedudukan wanita sangat membingungkan seperti yang kini berlaku di Mesir.

Umat kita mendiamkan kemungkaran yang diperbuat oleh para ‘play boy’. Mereka membiarkan para pemuda bertahun-tahun bergelumang dengan maksiat seperti bersekedudukan dan bercinta sebelum melangkah ke alam perkahwinan.

Perempuan yang dibiarkan untuk melacur dan menjadi permainan hawa nafsu akan dapat menggoncangkan umat seluruhnya dan akan dipermainkan oleh syaitan.

Umat kita dapat menerima kemungkaran ini tetapi mereka tidak dapat menerima untuk meringankan pesta besar-besaran yang diadakan ketika akad nikah.

Saya pernah menyaksikan di Hijaz dan Palestin (dan juga di Malaysia – pent) adanya berlebih-lebihan dalam masalah mahar. Sehingga orang lelaki tidak akan dapat berdampingan dengan seorang perempuan, kecuali bila dia dapat membawa beratus-ratus dan beribu-ribu wang.

Kemudian apa yang terjadi akibat dari itu semua? Kemungkaran bermaharajalela di sana sini.

Tidak layak orang-orang jahil itu berbicara tentang dibolehkan berlebihan dalam hal mahar menurut syarak. Walaupun dianggap sebagai suatu perbuatan yang baik, hal tersebut tidak patut diamalkan. Sebabnya sunnah Nabi tidak membolehkannya kecuali sesudah sempurnanya yang wajib. Jika hal yang wajib itu telah dipijak-pijak, di mana letak yang sunat?

Dan kalau kehormatan diri sudah tidak ada lagi dan perbuatan sundal sudah merata, apakah perlu berbicara soal dibolehkannya berlebihan dalam masalah mahar?

Ramai orang Islam yang menjadikan masalah perkahwinan syari’ sebagai suatu hal yang sangat sukar dan payah, sehingga menyebabkan berleluasanya maksiat di dalam masyarakat.

Alangkah baiknya jika kaum muslimin mempelajari bagaimana cara mengatur hubungan antara lelaki dan wanita dengan cara yang benar dan bagaimana caranya agar setiap anggota keluarga dapat berhimpun di halaman masjid pagi dan petang dan sebahagian waktu malam.

Bahkan bagaimana caranya supaya lelaki dan perempuan dengan serentak mahu berjuang untuk menegakkan kalimatullah.

Dari sekian banyak yang kita saksikan, ada sebahagian ahli masyarakat yang memberikan kebebasan seluas-luasnya kepada anak-anaknya.

Di segi mencari nafkah seluruh masyarakat Eropah telah sampai pada suatu batas di mana suami isteri sama-sama aktif dalam berbagai pekerjaan dan lupa mengurus rumahtangga.

Peringatan hari ulang tahun, hari Asyura dan hari cuti mingguan

Orang pertama yang mengadakan perayaan maulid Nabi di Kota Erbel ialah Raja Al Mudhaffar Abu Sa’id pada abad ketujuh. Kemudian peringatan ini meluas ke mana-mana dan banyak penggemarnya.

Manakala hari peringatan lain yang bid’ah ialah sambutan hari Asyura (pada 10hb Muharram ) yang dirayakan oleh golongan Syiah dan golongan ahli sunnah.

Golongan Syiah pada hari tersebut mereka memukul tubuh mereka dengan apa saja yang ada di tangannya, sebagai tanda berduka cita atas kematian Husain. Manakala golongan Ahlus Sunnah adalah sebaliknya iaitu merayakan hari tersebut dengan membuat kenduri dengan beraneka makanan dan kuih.

Apa yang diperbuat oleh kedua golongan tersebut sama sekali tidak bersumber dari ajaran Islam .

Di antara perbuatan bid’ah ialah peringatan maulid Nabi, Israk Mikraj, Nisfu Syaaban, Lailatul Qadar dan awal tahun Hijrah.

Kota-kota besar sekarang ini hampir tidak bergerak pada hari minggu (hari Ahad) , kerana tempat-tempat pekerjaan semua bercuti. Sebaliknya pada hari Jumaat tidak ada kesempatan bagi seorang buruh untuk berhias, bersenang-senang atau beristirehat. Kini kita dapati kemenangan tradisi Eropah , (yang sebenarnya tradisi Kristian) ke atas tradisi Islam.

Bid’ah dan Syirik
Penulis: Dr Yusuf Qardhawy dan Muhammad Al-Ghazali.

Penterjemah : Jasmin Enterprise
Penerbit : Jasmin Enterprise, P.O. Box No 12649 , 50786 Kuala Lumpur

Tebal : 276 ms
Harga: RM15.00
ISBN 983-2087-20-1